penulis blog yang cukup bergaya. HAHA

My photo
gua taip segala benda yang terlintas kat otak gua ni. kalau otak gua blur, memang benda merepek lah yang gua akan post. HAHA.

30 August 2015

KAU SUDAH DEWASA

KAU SUDAH DEWASA


Kau sudah dewasa. Mungkin kau tidak bersekolah tinggi. Mungkin juga kau sudah sampai ke tahap yang dikatakan "Menara Gading". Tetapi kau tidak perlu gusar tentang semua itu lagi kerana kau sudah dewasa, tiba masa untuk kau melakukan perkara yang akan lebih menggembirakan hati kau kini. Malah dunia kini terbuka luas buat kau kerana kau sudah dewasa.

Kau sudah dewasa. Kau kini sudah mempunyai pekerjaan sendiri, sudah ada duit saku sendiri. Mungkin juga kau ini anak orang kaya yang hanya membelanjakan harta kekayaan ibubapamu untuk memenuhi kehendak kau. Apa jua alasanmu, kini kau sudah boleh beli apa saja barang yang kau mahu kerana kau sudah dewasa. 

Kau sudah dewasa. Kini tanggungjawab kau semakin meningkat. Kau kini sudah ada kereta, motor, rumah dan mungkin juga pasangan hidup. Kau kini mula jadi stres memikirkan bagaimana hendak meningkatkan duit kau untuk membayar segala bil dan membeli barang untuk kemandirian hidupmu sepanjang bulan. Kau kini mula berfikir bermacam benda di dalam otakmu sehinggakan rambut kau juga sudah mula bertukar putih kerana kau sudah dewasa.

Kau sudah dewasa. Kau boleh pergi ke mana jua kau mahu. Kau boleh buat apa jua yang hati kau mahukan kerana kau sudah dewasa. Kau tidak perlukan lagi orang mengarahkan kau supaya jangan buat itu, jangan buat ini lagi. Arahan dari orang lain tidak lagi kau ikuti, malah kini kau pula yang mula mengarah-arahkan orang lain kerana kau sudah dewasa.

Kau sudah dewasa. Kau kini semakin kerap menipu, kerap berbohong kerana itulah lumrah hidup manusia yang sudah dewasa. Kau terpaksa menjadi hipokrit untuk hidup di alam dewasa ini. Ya, kau sedar, semakin kau dewasa, semakin kau faham dengan adat permainan dunia ini, jadi kau terpaksa belajar membohongi antara satu sama lain kerana kau sudah dewasa.

Kau sudah dewasa. Kau kini semakin pandai berjanji dan kau juga semakin pandai memungkiri janji. Ayat-ayat manis, memuji, mengeji, mencaci semakin pandai kau luahkan kini. Ketika kau kecil, mungkin kau hanya mampu mencaci "MAK KAU HIJAU!" pada orang yang kau benci. Tetapi kini kau sudah mampu mencaci dan memuji orang sehingga ke tahap yang kau sendiri tidak pernah terbayangkan kerana kau sudah dewasa.

Kau sudah dewasa. Kini cinta dan kasih sayang mula menjadi kepentingan buat dirimu. Kau mungkin setia. Kau juga mungkin suka bertukar-tukar pasangan seperti pakaianmu. Kau mula merasakan bahagia apabila ada seseorang berada disisi. Kau kini mula merasakan pelbagai jenis perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini kerana kau sudah dewasa.

Kau sudah dewasa. Ahli keluarga kau mula meninggalkan diri kau. Kawan-kawan juga meninggalkan diri kau. Kawan yang dulu kau kata sahabat baik, kini tidak lagi sebegitu. Dulu kenal, sekarang sudah menjadi seperti orang asing. Cinta hadir dan pergi dari hidup kau. Walaupun dilanda banyak dugaan, kau tetap kuat dan tabah menghadapinya. Ya, semua ini kau akan lalui apabila kau sudah dewasa. 

Kau sudah dewasa. Teguran dan nasihat dikatakan "berleter" pula sekarang ini buat kau kerana kau sudah dewasa. Mungkin kerana kau sudah besar, kau sudah mampu berfikir dan membuat keputusan sendiri, kau mula merasakan bahawa orang lain tidak lagi boleh mencampuri urusan hidup kau. Ya, kau sudah dewasa. MEMANG KAU SUDAH DEWASA.

-Farid Izzat-